top of page
Wartawan Nabalu News

PH tuntut PM beri penjelasan penuh atas kegagalan pengurusan banjir


31 Dis 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan anggota kabinet untuk memberi penjelasan penuh dalam sidang khas Parlimen berhubung kegagalan pengurusan banjir besar yang berlaku baru-baru ini.


Dalam satu kenyataan media hari ini, Majlis PH berkata kejadian banjir besar baru-baru ini memberi impak besar kepada ramai orang dan telah meragut nyawa hampir 50 orang serta mengakibatkan kerosakan harta benda.


“Suara rakyat yang kedengaran di media sosial amat lantang mengkritik respon Jemaah Menteri yang sangat lembab atau dilihat setakat ‘berwayang’ tanpa benar-benar membantu mangsa banjir, termasuk di Sabah iaitu di Tenom pada Mei dan Penampang pada Semptember lalu.


“Malah fenomena ini telah membuka mata kita semua kepada realiti bahawa perubahan iklim dan aktiviti manusia khususnya pembalakan berleluasa dan pembangunan yang tidak mampan akhirnya memberi kesan negatif buat rakyat,” kata Majlis PH.


Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.


Selain itu, majlis itu juga berpandangan bahawa kerajaan juga perlu menasihatkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja, selaras dengan titah Tuanku bahawa satu pascanilai (postmortem) banjir besar ini dilakukan, termasuk juga buat Sabah dan Sarawak.


“Ini bagi mengenalpasti segala kelemahan perancangan dan kelewatan pelaksanaan dapat diatasi, termasuk kepincangan yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara sebagaimana yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Segambut berhubung enam kolam takungan banjir di Kuala Lumpur diberi milik untuk tujuan pembangunan,” kata majlis itu.

Comments


bottom of page