top of page
Farah Salim

PH umum senarai penuh calon bagi PRN Melaka


6 Nov 2021

Oleh Farah Salim


PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) mengumumkan senarai penuh calon yang akan bertanding dalam 28 kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.


Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kesemua calon-calon tersebut akan bertanding atas nama PH iaitu 11 calon dari PKR, AMANAH (sembilan calon) dan DAP (lapan calon).


Presiden PKR itu berkata, PH juga akan menampilkan muka-muka baharu dengan calon termuda Farzana Hayani Mohd Nasir, berusia 21 tahun.


“Calon-calon ramai yang baharu dan kebanyakan kali pertama bertanding.


“Jika kita lihat umur calon, secara relatifnya lebih muda dari 21 tahun hingga 40 tahun,” katanya pada sidang media penamaan calon PH, hari ini.


Anwar berkata, pada PRN kali ini terdapat empat calon wanita iaitu dua dari PKR dan satu calon masing-masing dari AMANAH dan DAP.


Katanya, PH juga akan mencalonkan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), yang dipecat daripada UMNO iaitu Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan.


Anwar menjelaskan, Idris diterima sebagai ahli PKR sementara dan Nor Azman pula diterima sebagai ahli AMANAH.


Idris yang juga bekas Ketua Menteri Melaka akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan manakala Nor Azman pula akan bertanding di DUN Pantai Kundor.


Manakala Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin akan bertanding di DUN Paya Rumput.


Selain itu, dua bekas ADUN Amanah iaitu Adly Zahari dan Datuk Sofia Abdul Wahab akan bertanding di DUN Bukit Katil dan Durian Tunggal.


Antara senarai lain calon PKR ialah Zainal Hassan (DUN Tanjung Bidara), Mohamad Asri Ibrahim (DUN Lendu), Zamri Pakiri (DUN Rembia), Law Bing Haw (DUN Machap Jaya), Hasmorni Tamby (DUN Sungai Udang), Datuk Gue Teck (DUN Klebang), Mohd Rafee Ibrahim (DUN Ayer Molek), Prasanth Kumar A/L Brakasam (DUN Rim) dan Faryani Hayani Mohd Nasir (DUN Sungai Rambai).


Sementara itu calon bagi AMANAH pula ialah Julasapiah kasim (DUN Kuala Linggi), Mazenah Baharuddin (DUN Ayer Limau), Zairi Suboh (DUN Taboh Naning), Muhammad Khomeini Kamal (DUN Serkam) dan Azrin Ab Majid (DUN Merlimau).

Comments


bottom of page