top of page
nabalunews

Phillexson yakin atlet Tandek kekal bersemangat pantang menyerah kalah di MSSM 2024 di Perak

15 Oktober 2024


KOTA MARUDU: Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Marudu, Pillexson James, telah tampil memberikan sokongan moral kepada para atlet dari Tandek yang bakal mewakili daerah Kota Marudu dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Ipoh, Perak, dari 20 hingga 25 Oktober ini.


Pillixson turut menyampaikan sumbangan ikhlas kepada lima atlet yang terpilih, bertujuan meringankan beban kos perbelanjaan yang perlu ditanggung sepanjang tempoh kejohanan tersebut.


"Sumbangan ini diharap dapat sedikit sebanyak mengurangkan tekanan kos, terutamanya bagi perjalanan jauh dan tempoh kejohanan yang panjang," katanya.


Beliau menambah, "Bayangkan, jarak dari Pekan Tandek ke Kota Kinabalu sahaja sudah mencecah 180 kilometer. Belum lagi ditambah dengan kos penerbangan dan perbelanjaan sepanjang hampir seminggu mereka berada di kejohanan itu. Ini tentunya merupakan cabaran besar buat mereka. Semoga sumbangan kecil ini dapat menjadi pembakar semangat kepada mereka untuk terus berjuang."


Pillixson turut mengingatkan bahawa kejayaan bukan sesuatu yang mudah dicapai tanpa pengorbanan.


"Untuk mencapai kejayaan, kita memerlukan kerja keras, disiplin, semangat pantang menyerah, dan keinginan untuk mencapai prestasi terbaik. Saya percaya, para atlet ini mempunyai semua ciri tersebut," ujar beliau.


Seorang daripada atlet yang menyertai kejohanan itu ialah Eve Usevert Simbir, pemenang pingat emas bagi kontinjen Kota Marudu di Kejohanan Olahraga MSS Sabah 2024 yang ke-56 di Sandakan pada September lalu.


Kejayaan Eve di peringkat negeri memberi harapan besar kepada kontinjen Kota Marudu untuk meraih lebih banyak kejayaan di peringkat kebangsaan.


Pillixson menyatakan keyakinannya bahawa atlet-atlet dari Tandek ini akan berjuang dengan penuh dedikasi, bukan sahaja untuk mengharumkan nama daerah Kota Marudu, tetapi juga bagi mengibarkan bendera Sabah sebagai juara.


"Saya percaya mereka mampu mencipta sejarah dan membawa pulang kejayaan yang kita semua harapkan," tambah beliau.


Dengan semangat juang yang tinggi dan persediaan rapi, para atlet dari Tandek ini diharapkan dapat memberikan persembahan terbaik mereka dan terus berjuang, pantang menyerah kalah dalam usaha mengejar kejayaan di MSSM 2024 kelak.

Comments


bottom of page