PHRS bantu pesakit angin ahmar pulang ke Tawau dari Kuala Lumpur

27 Ogos 2024
TAWAU: Hasrat seorang wanita warga emas untuk pulang ke rumahnya di Kampung Sungai Udin, Merotai, Tawau selepas terlantar sakit akibat angin ahmar di Kuala Lumpur sejak Jun lalu akhirnya tercapai hari ini.
Rasnah Irham, 75, tiba dengan pesawat komersial di Lapangan Terbang Tawau pada jam 10.10 pagi tadi atas inisiatif Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).
Sebelum ini, keluarga pesakit berkenaan buntu untuk membawanya pulang ke Tawau kerana tidak dapat mencari doktor pengiring.
Menurut cucunya, Sherlinda Rabu, pada Jun lalu, Rasnah sepatutnya pulang ke Tawau dari Kuala Lumpur tetapi diserang angin ahmar sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Keadaan itu menyebabkan nenek dimasukkan di sebuah hospital di Cyberjaya. Malah, beliau terpaksa tinggal di Kuala Lumpur buat sementara sehinggalah keadaannya mengizinkan untuk menaiki kapal terbang.
“Namun, kami mula berdepan masalah apabila tidak dapat mencari doktor pengiring bagi membantu memantau keadaan nenek sepanjang proses penerbangan pulang,” katanya.
Katanya, selepas gagal mendapatkan doktor dari hospital kerajaan dan swasta di Kuala Lumpur, dia akhirnya menghubungi Presiden PHRS, Brig Jen (B) Tan Sri Datuk Liew Yun Fah untuk mendapatkan pertolongan.
“Sebenarnya kos untuk menggunakan doktor pengiring bagi kes seperti nenek sekitar RM20,000.
“Alhamdulillah kerana Tan Sri (Liew) bersedia membantu mencarikan doktor pengiring termasuk menampung sebarang kos berkaitan perubatan sepanjang proses membawa nenek pulang ke Tawau,” katanya.
Rasnah bersama suami dan ahli keluarga lain tiba di Lapangan Terbang Tawau pada jam 10.10 pagi tadi dengan diiringi Timbalan Pengarah Hospital Tawau, Dr Azman Ibrahim.
Ketibaan Rasnah dan keluarga turut disambut Ahli Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Sammie Liew Sam Yi dan ahli keluarga lain, sebelum dihantar pulang ke kediamannya di Kampung Sungai Udin, Merotai menggunakan ambulans.
Sementara itu, Liew berkata, pihaknya berbesar hati dapat membantu dalam proses membawa pulang warga emas berkenaan.
“Saya segera menghubungi Dr Azman yang kebetulan ketika itu berada di Kuala Lumpur. Syukur semua urusan dipermudah dan pesakit dapat bersama keluarga di kampung halaman,” katanya.
Liew turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu memudahkan usaha sepanjang proses membawa pulang pesakit terbabit.
Comments