top of page
nabalunews

PIBG memainkan peranan penting capai kecemerlangan akademik

14 Disember 2024


Oleh : Wartawan Nabalu News 


SANDAKAN : Permuafakatan antara ibu bapa dan guru di sekolah dapat membina kesefahaman tentang tugas dan tanggungjawab bersama dalam usaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah.


Perkara itu ditekankan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung ketika berucap merasmikan Hari Terbuka Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Hari Bakat Murid 2024 Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Tanjung Papat 1, Sandakan pada Sabtu.


Dalam ucapannya, Frankie berkata melalui program ini, PIBG dapat mewujudkan permuafakatan antara ibu bapa dan guru di sekolah sebagai satu pasukan yang terbaik. 


"Permuafakatan seumpama ini diharapkan dapat membina kesefahaman tentang tugas dan tanggungjawab bersama dalam usaha untuk meningkatkan mutu pengajaran guru-guru dan pembelajaran murid di sekolah selain mempertingkatkan kerjasama dan perkongsian antara pihak sekolah, ibu bapa, komuniti setempat dan agensi luar," katanya.


Frankie menambah, PIBG juga berperanan membantu dan menambah usaha pihak sekolah untuk memenuhi kehendak dan keperluan sokongan pembelajaran pelajar dalam kegiatan mereka sama ada dalam kurikulum mahupun kokurikulum.


'Kita juga sedia maklum, PIBG turut membantu pihak sekolah menangani pelajar bermasalah kehadiran dengan mengadakan Program Ziarah Cakna secara bekerjasama dengan unit kaunseling yang bertujuan memberi kesedaran, keinsafan dan semangat untuk pelajar berjaya dalam pelajaran," katanya.


"Hal ini bukan sahaja dapat mengatasi masalah disiplin di sekolah malah dapat meningkatkan prestasi akademik para pelajar," katanya.


Turut hadir, Guru Besar merangkap Penasihat PIBG SK Sri Tanjung Papat 1, Sandakan, Hamziah Hidayat, Yang Di-Pertua PIBG sekolah itu, Mohd Amnri Mukarramah, Setiausaha ADUN Tanjong Papat yang juga Pengerusi Jetama Water Sdn Bhd, Liau Fui Fui, guru-guru, ibubapa dan pengunjung.

Comments

Couldn’t Load Comments
It looks like there was a technical problem. Try reconnecting or refreshing the page.
bottom of page