PIBG SMK Narinang Anjur Hari Keluarga dengan Sokongan ADUN Kadamaian
19 Disember 2024
KOTA BELUD: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang bakal menganjurkan Program Hari Keluarga pada 20 Disember 2024 bertempat di pekarangan sekolah bagi merapatkan hubungan komuniti sekolah dan ibu bapa melalui pelbagai aktiviti menarik.
Program ini mendapat sokongan penuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, yang menyumbangkan dana untuk menjayakan acara tersebut.
Sumbangan itu diserahkan oleh Pemaju Masyarakat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Clarence Somuil, kepada Wendie Victoria Ensin, Setiausaha PIBG SMK Narinang.
Menurut Wendie, pelbagai aktiviti menarik telah dirancang untuk menghidupkan suasana Hari Keluarga ini.
“Antara pengisian yang akan dijalankan termasuk senamrobik, pertandingan karaoke, sukan seperti badminton, bola tampar, dart, serta acara sukaneka yang melibatkan peserta pelbagai peringkat usia,” jelasnya.
Selain itu, cabutan tiket bertuah juga akan diadakan sebagai daya tarikan tambahan kepada pengunjung. Wendie berharap program ini akan menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara guru, ibu bapa, dan masyarakat setempat.
“Walaupun kami berharap Ewon dapat hadir sebagai perasmi, kami memahami kekangan masa beliau. Namun, sumbangan beliau sangat bermakna dan menjadi pemangkin kejayaan program ini,” katanya lagi.
Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada Ewon atas sumbangan beliau yang memastikan kelancaran program ini.
"Bantuan yang diberikan membolehkan kami melaksanakan pelbagai aktiviti yang pastinya akan meninggalkan kenangan manis kepada semua yang hadir,” tambah Wendie.
Wendie berharap program Hari Keluarga ini mendapat sambutan meriah daripada warga sekolah dan komuniti setempat untuk mencerminkan semangat kebersamaan dalam membina hubungan harmoni.
Comments