top of page
Nur Syafiqah Abdullah

Pindaan Akta 342 ditangguh


20 Dis 2021 Oleh Nur Syafiqah Abdullah KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 atau Akta 342 bagi bacaan kali kedua dan ketiga ditangguhkan ke sidang Dewan Rakyat akan datang. Penangguhan itu mengambil kira perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Jawatankuasa Pilihan Khas pada Isnin. Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, penangguhan itu dilakukan atas permintaan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi yang dipengerusikan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen. "Oleh demikian saya telah bentang kepada Jawatankuasa Pilihan Khas tadi segala butiran dan perincian berkenaan pindaan ini termasuklah peraturan dan garis panduan yang diperlukan dalam pindaan berkenaan. "Sangat penting untuk kita mendapat penerimaan rakyat dan pematuhan rakyat kerana ia berkaitan dengan langkah-langkah kesihatan awam yang diperlukan untuk kita tangani bukan hanya Covid-19 tapi juga apa sahaja penyakit berjangkit yang akan timbul,” katanya di sidang Dewan Rakyat hari. Sementara itu beberapa Ahli Parlimen pembangkang menerima baik penangguhan Akta 342 tersebut. Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Madius Tangau menerusi ciapan akaun Twitternya berkata: "Syukurlah atas semangat Memorandum of Understanding (MOU) diantara Pakatan Harapan dengan Perdana Menteri pembentangan RUU Akta 342 ditangguh ke sidang akan datang. #Akta342 #kesihatan”. Bagi Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, beliau berkata penangguhan RUU Akta 342 itu adalah sesuatu yang bersejarah. "Penjelasan tentang pindaan dan peraturan garis panduan untuk pihak berkepentingan serta awam diperlukan untuk menangani persepsi negatif. "Dengan itu RUU Akta 342 pasti akan mendapat sokongan bi-partisan," katanya menerusi akaun Twitternya. Manakala, Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, "Alhamdulillah, Akta 342 telah ditarik balik. Pendapat kita walau tujuannya untuk kekang penyakit tapi sangat membebankan rakyat”.

Comments


bottom of page