top of page

Pindaan Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 Berkuat Kuasa Hari Ini - Kementerian Komunikasi

nabalunews

11 Februari 2025


KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] mula berkuat kuasa pada hari ini selepas diwartakan pada 7 Feb lepas.


Kementerian Komunikasi dalam kenyataan memaklumkan pindaan terhadap akta itu yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Disember tahun lepas menyediakan ekosistem rangkaian Internet lebih selamat dan mampan kepada pengguna.


“Hal ini sekali gus memberikan perlindungan lebih baik kepada pengguna, terutamanya kanak-kanak dan keluarga,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.


Persidangan Dewan Rakyat pada 9 Dis 2024 meluluskan Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 melalui undi belah bahagian dengan 59 Ahli Parlimen bersetuju manakala 40 Ahli Parlimen tidak menyokong, seorang tidak mengambil bahagian serta 122 tidak hadir.


Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ketika menggulung perbahasan rang undang-undang berkenaan berkata Seksyen 233 di bawah Akta 588 tidak dimansuhkan untuk mengelak penyalahgunaan rangkaian oleh mana-mana pihak bagi tujuan komersial khususnya penjualan pornografi dan pedofilia.


Bagi pindaan Seksyen 211 pula, ia tidak terpakai kepada orang awam, tetapi penggunaannya adalah kepada pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) dengan denda dalam seksyen berkenaan diselaraskan mengikut perkembangan semasa.


Pindaan itu juga memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tempoh lima tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya, bagi kesalahan yang dilakukan terhadap kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah.


Menerusi pindaan itu, Seksyen 211 menggantikan perkataan “kandungan jelik” dengan perkataan “kandungan yang sumbang dan lain-lain” manakala dalam Seksyen 211 (b)(1) memotong perkataan “atau orang lain yang menggunakan perkhidmatan aplikasi kandungan” serta menggantikan perkataan “jelik” dengan perkataan “jelik melampau”.


Seksyen 211(c) pula antaranya menggantikan perkataan “seseorang” dengan perkataan “pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan” selain menggantikan perkataan “lima puluh ribu” dengan perkataan “satu juta”.


Dalam kenyataan itu, Kementerian Komunikasi turut memaklumkan pada tahun lepas, jumlah kes jenayah dalam talian mencecah 35,368 kes dengan nilai kerugian lebih RM1.5 bilion, membuktikan bahawa pindaan berkenaan adalah tepat pada masanya.


Sehubungan dengan itu, kementerian berharap rakyat Malaysia dapat memberi sokongan penuh terhadap usaha-usaha yang dilaksanakan dan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk melindungi diri dan keluarga daripada sebarang ancaman dalam talian.-BERNAMA

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page