top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pindaan Akta LHDN lantik wakil Sabah, Sarawak supaya maklumat hasil dikongsi kerajaan negeri

7 Okt 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PONTIAN: Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usul pelantikan secara pentadbiran wakil kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai Anggota Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang akan dibentangkan kelak diyakini tidak menghadapi sebarang masalah.


Jelas Ahmad, usul itu adalah sebahagian daripada Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 RUU LHDNM (Pindaan) 2023) yang akan dibawa ke Parlimen pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen Ke-15 yang akan bermula pada Isnin ini.


Menurut laporan Bernama, pembentangan itu adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Jun lepas yang bertujuan untuk menghormati dan memberi lebih kuasa kepada Sabah dan Sarawak mengikut semangat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTP-MA63).


"Saya rasa tidak ada masalah, sebelum ini Menteri Kewangan mempunyai kuasa penuh untuk melantik sesiapa sahaja yang difikirkan sesuai tetapi sekarang ini kuasa Menteri Kewangan terhad dengan rujukan kepada Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak dalam melantik dua Ahli Lembaga LHDN.


"Dengan kata lain apabila kita menurunkan sedikit kuasa itu, bererti kita menghormati dan memberi lebih kuasa kepada Sabah dan Sarawak mengikut semangat (MTP-MA63)," katanya ketika menjawab soalan pemberita sama ada terdapat halangan dalam membentangkan usul itu, selepas Program Kita MADANI Negeri Johor 2023 di Dataran Majlis Perbandaran Pontian di sini hari ini.


Ahli Parlimen Pontian itu berkata pelantikan dua ahli lembaga itu adalah penting dan wajar agar mereka dapat mengetahui dengan lebih lanjut tentang jumlah kutipan hasil yang diperoleh di Sabah dan Sarawak.


"Selalunya Sabah dan Sarawak ingin mengetahui berapa banyak pendapatan daripada rakyat dan syarikat di kedua negeri itu, mereka ingin supaya hasil itu diberikan kembali Sabah dan Sarawak dengan adil.


"Kalau ada wakil daripada mereka, maka mereka dapat mengetahuinya dengan lebih terperinci jumlah kutipan hasil itu dan kemudian boleh kita merancang supaya hasil itu kita kembalikan dengan adil kepada Sabah dan Sarawak untuk pembangunan negeri berkenaan," katanya.

Comments


bottom of page