top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pindaan AUKU 1971 perlu bagi kebebasan mahasiswa, akademik - Anwar


8 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 perlu dipinda bagi memberi lebih banyak ruang kebebasan kepada mahasiswa dan akademik di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).


Beliau berkata, akta tersebut juga perlu untuk menjaga dan mengawal kualiti dan integriti IPTA dan IPTS serta peraturannya wajar dipatuhi oleh semua pihak.


“Berkaitan AUKU, itu mungkin menteri dengan ketua setiausaha kementerian akan teliti. Tetapi, dalam pendidikan tinggi harusnya ada akta, pengawalan IPTA dan IPTS mungkin berbeza sama ada digabung atau digarap itu saya tiada pandangan keras, itu terserah.


“Tetapi apa yang dibangkitkan tentang AUKU itu penting. AUKU ini, peruntukan tentang kebebasan kegiatan mahasiswa itu boleh diperhalusi atau akademik, profesor dan pensyarah boleh menulis dan memberikan pandangan termasuk kritikan,” katanya dalam sesi Dialog Bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM di sini kelmarin.


Tambah beliau, perkara tersebut diserahkan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan kementeriannya untuk dibincangkan dengan pelbagai pihak berkepentingan.


Tedahulu, pindaan AUKU 1971 yang dijangka dibentangkan dalam persidangan Parlimen hujung tahun ini menjanjikan lebih banyak ruang kebebasan kepada mereka yang bergelar mahasiswa.


Menurut Mohamed Khaled Nordin, pindaan akta tersebut lebih memfokuskan kepada Seksyen 15 dan 16 iaitu peruntukan yang berkaitan dengan pelajar.


Beliau turut memaklumkan bahawa draf bagi pindaan akta itu akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC) sekitar pertengahan Jun ini.


Sementara itu, Anwar mengingatkan bahawa kebebasan mahasiswa bukan bermakna tiada peraturan atau tidak perlu menghormati kewujudan institusi untuk mengadakan sebarang program di dalam sesuatu kampus.


“Macam dibangkitkan sebelum ini katanya sikap saya, saya terbuka siapa hendak datang, datanglah. Tetapi ada peraturannya, kena maklum dewan mana, itu sahaja. Tetapi saya tidak fikir kita harus sekat.


“Melainkan kalau ada sikap yang membawa kepada permusuhan kaum atau agama itu kita tegas, saya tidak peduli, saya tetap hendak jaga supaya keselamatan negara terkawal, tidak tolak ansur bab itu,” ujarnya menjawab isu berhubung tindakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang tidak dibenarkan masuk ke UiTM baru-baru ini.



Comments


bottom of page