top of page
  • nabalunews

Pindaan RUU Ordinan Buruh Sabah jika lulus beri manfaat kepada lebih 2 juta pekerja di Sabah

6 September 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


SANDAKAN : Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, Rang Undang-Undang Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 jika diluluskan kelak bakal mencipta sejarah selepas 20 tahun usaha dilakukan untuk menyeragamkan hak serta perlindungan golongan pekerja di Sabah dengan pekerja di Semenanjung Malaysia mengikut Akta Kerja 1955.


Katanya, jika diluluskan, kira-kira 2 juta pekerja di Sabah juga bakal menikmati cuti paterniti seperti di Semenanjung selain tempoh cuti materniti yang sama, mempunyai hak untuk mengelak diskriminasi pekerja dan lain-lain yang memberi manfaat kepada mereka secara keseluruhannya.


Katanya Rang Undang-Undang Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Julai lalu untuk meminda Ordinan Buruh Sabah (Sabah Bab 67), selepas pindaan kali pertama dibuat pada 2005.


Jelasnya, bacaan kali kedua bakal dibuat pada mesyuarat akan datang dan beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang menyokong usaha berkenaan. 


Steven menyatakan perkara itu selepas merasmikan Forum Tenaga Kerja Masa Depan dalam Pertanian Lestari di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Sandakan di Hab Pendidikan Sandakan pada Jumaat.


Forum ini dianjurkan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan UMS Sandakan yang menampilkan panel dari UMS, HRD Corp Sandakan, Jabatan Pertanian Sabah (SAD) dan Persatuan Penanam-Penanam Malaysia Timur (EMPA).


Turut hadir, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, Timbalan Pengerusi HRD Corp, Ahsim Jamat, Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Wira Shahul Dawood dan Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar.


Dalam perkembangan lain, Steven berkata, KESUMA sedang menyiapkan laporan berkenaan cabaran pekerja masa kini yang berhadapan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau dan cabaran semasa bagi membolehkan pekerja terus berdaya saing.


Manakala KESUMA juga jelasnya menyediakan peruntukan RM2.6 billion bagi memperkasakan kemahiran pekerja dan institusi perindustrian di seluruh negara.


Sementara itu Steven turut melawat UMS Sandakan selain menyaksikan penyampaian surat tawaran latihan industri kepada pelajar daripada majikan dan penyerahan surat niat antara UMS, SAD dan EMPA melalui transformasi HRD Corp yang memimpin pertanian lestari bersama rakan strategik di Sabah dalam  memajukan latihan lemahiran di samping membangunkan tenaga kerja masa depan dalam sektor pertanian lestari di Sabah.

Comments


bottom of page