PKPB BERSASAR PENDEKATAN TERBAIK UNTUK DAPATKAN SEMULA MOMENTUM PEMULIHAN EKONOMI : PERANGKAAN
28 OKTOBER 2020
KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bersasar dilihat sebagai pendekatan terbaik bagi mengurangkan kesan pandemik COVID-19 dan mendapatkan semula momentum pemulihan ekonomi, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ini meskipun dengan cabaran ekonomi yang bakal dihadapi terutama dengan penguatkuasaan PKPB di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya memandangkan Malaysia kini sedang mengalami gelombang ketiga penularan COVID-19.
“Negeri-negeri ini menyumbang 46.6 peratus kepada ekonomi pada 2019. Oleh itu, sebarang perubahan dalam aktiviti ekonomi itu akan memberi kesan terhadap prestasi ekonomi negara secara keseluruhan,” kata beliau dalam satu kenyataan sempena dengan penerbitan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) oleh Jabatan Perangkaan.
Menurut Mohd Uzir, laporan MESR ini bertujuan untuk memberi pengguna di sektor awam dan swasta berhubung fakta dan pandangan mendalam mengenai senario ekonomi terkini.
Laporan itu merangkumi dua artikel bertajuk "Penilaian Awalan Situasi Guna Tenaga Tidak Penuh (Underemployment) di Malaysia” dan “Sorotan Prestasi Industri Kreatif di Malaysia".
Beliau berkata pandemik COVID-19 telah mempengaruhi operasi perniagaan yang secara langsung memberi kesan kepada keseluruhan situasi tenaga buruh di Malaysia.
“Ini ditunjukkan oleh kadar pengangguran yang tinggi sepanjang separuh tahun pertama 2020, dengan catatan tertinggi direkodkan pada Mei 2020 sebanyak 5.3 peratus.
“Selanjutnya, apabila semakin banyak sektor ekonomi kembali beroperasi, kadar pengangguran jatuh kepada 4.7 peratus pada bulan Julai dan kadar itu kekal pada bulan Ogos 2020,” katanya sambil menambah Jabatan Perangkaan sedang membuat pengukuran indikator guna tenaga tidak penuh untuk memberi gambaran tambahan mengenai pasaran buruh.
Mohd Uzir berkata Malaysia mencatatkan jualan pembuatan pembuatan berjumlah RM118.5 bilion pada Ogos berbanding RM119.2 bilion pada bulan Julai tahun ini.
“Prestasi perdagangan barangan bagi kedua-dua eksport dan import masing-masing merosot 14.5 peratus dan 2.2 peratus berbanding bulan Julai,” kata beliau.
Nilai jualan perdagangan borong dan runcit terus mencatatkan pertumbuhan positif 2.5 peratus pada bulan Ogos 2020 berbanding bulan sebelumnya, terutamanya didorong oleh pertumbuhan perdagangan borong.
Sektor ini pulih secara beransur-ansur tahun ke tahun dengan merekodkan pertumbuhan negatif yang lebih kecil dan dijangka akan terus meningkat pada bulan September 2020.
“Berdasarkan Indeks Pelopor (IP) yang terkini, Malaysia dijangka akan terus mengalami fasa pemulihan dengan mencatatkan 108.5 mata pada bulan Ogos 2020 dengan kadar pertumbuhan tahunan 7.6 peratus,” tambahnya. – Bernama
Comments