top of page
Wartawan Nabalu News

PKPD DI BEBERAPA KAMPUNG DAERAH KOTA MARUDU, TUARAN, NABAWAN DAN TAWAU BERMULA 8 JUN - 21 JUN INI


Gambar Hiasan

6 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa buah kampung melibatkan Kota Marudu, Tuaran, Nabawan dan Tawau berkuatkuasa 8 Jun hingga 21 Jun ini.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, PKPD akan dikuatkuasakan di Kampung Ongkilan Kota Marudu, Kampung Bolong Baru Tuaran, dua lokaliti di Nabawan dan Kampung Bergosong Pulau Sebatik Tawau.


“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini telah melaporkan situasi kes Covid-19 di Kampung Ongkilan, Kota Marudu dan mengesahkan terdapat peningkatan ketara kes di lokaliti ini apabila sebanyak 15 kes positif telah direkodkan hasil daripada 139 saringan dengan kadar positiviti 10.79 peratus.


“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan Negeri bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kampung Ongkilan, Kota Marudu bermula 08 Jun sehingga 21 Jun ini selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.


“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes-kes Covid-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin dan seterusnya mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti lain,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, bagi Kampung Bolong Baru Tuaran pula sehingga kini, KKM telah melakukan 53 ujian saringan dan 12 daripadanya dikesan positif Covid-19 dengan kadar positiviti ialah 22.6 peratus.


“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes bagi tujuan pengasingan serta melaksanakan saringan bagi kontak rapat,” katanya.


PKPD akan dikuatkuasakan di dua lolakiti di Nabawan iaitu Kampung Pulutan dan Kg. Murni C, Nabawan.


Beliau berkata, KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes yang ketara di dua lokaliti ini apabila Kg.Pulutan merekodkan sebanyak 11 kes positif dari 96 individu disaring dengan kadar positiviti 11.46 peratus.


“Manakala Kg. Murni C melaporkan 20 kes positif daripada 117 orang yang disaring dengan kadar positiviti 5.8 peratus,” katanya.


Masidi berkata, PKPD Kampung Bergosong, Pulau Sebatik juga akan dikuatkuasakan bermula 8 Jun ini.


Katanya, KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes yang ketara di lokaliti ini apabila sebanyak sembilan kes positif telah direkodkan selepas 16 individu disaring dengan kadar positiviti 56.25 peratus.


Comments


bottom of page