PKPD DI KG. SKIM COCOS DAN SMK MADAI KUNAK MULA ESOK (1 MEI)

30 April 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Skim Cocos Kunak dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Madai Kunak berkuatkuasa 1 Mei (esok) sehingga 14 Mei ini. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, pelaksanaan PKPD di lokaliti berkenaan bagi memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat pengesanan awal kes Covid-19 selain menyekat penularan jangkitan dari kawasan berisiko ke kawasan lain luar di lokaliti tersebut. Beliau berkata sehingga kini, KKM telah melakukan 186 ujian saringan di Kg Skim Cocos dan daripada jumlah itu, lapan disahkan positif Covid-19. “KKM mengesahkan berlaku kenaikan kes secara mendadak dalam tempoh seminggu serta kadar kebolehjangkitan adalah tinggi di lokaliti ini. “Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Skim Cocos, Kunak berkuat kuasa 1 Mei sehingga 14 Mei 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini. Masidi berkata, bagi SMK Madai Kunak pula, KKM telah merekodkan 18 kes positif Covid-19 hasil daripada keseluruhan 185 ujian saringan ke atas penghuni sekolah dan penduduk di lokaliti tersebut. “Malah, KKM juga memaklumkan berlaku kenaikan kes secara mendadak dalam tempoh seminggu dan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi di lokaliti ini. “Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan PKPD di sekolah berkenaan berkuat kuasa 1 Mei sehingga 14 Mei ini,” katanya.
Comments