PKPD SEKOLAH MENENGAH AGAMA, KOTA KINABALU, TIGA LOKALITI DI LAHAD DATU DAN TAWAU
17 April 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sekolah Menengah Agama, Kota Kinabalu bermula 18 April (esok) sehingga 1 Mei ini selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan. PKPD turut dilaksanakan di tiga lokaliti Lahad Datu melibatkan Kampung Bikang, Kampung Kadumu dan Taman Khazanah dan di tiga taman perumahan di Tawau iaitu di Taman Hilltop, Taman Bukit Bintang dan Taman Berkley berkuatkuasa esok. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar. “KKM hari ini melaporkan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di Sekolah Menengah Agama, Kota Kinabalu. “Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan Negeri bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Sekolah Menengah Agama, Kota Kinabalu bermula esok selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan,” katanya. Masidi berkata, sehingga kini, secara kumulatif sebanyak 13 kes positif Covid-19 telah direkodkan melibatkan Kampung Bikang, Kampung Kadumu dan Taman Khazanah, Lahad Datu. “KKM mengesahkan berlaku penularan jangkitan Covid-19 di lokaliti dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi,” katanya.
Comments