top of page
nabalunews

PM AJAK SEMUA AHLI POLITIK SOKONG BELANJAWAN 2021 DEMI KEPENTINGAN RAKYAT



31 OKTOBER 2020


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mengajak semua Ahli Parlimen mengetepikan perbezaan politik bagi menyokong Belanjawan 2021 kerana pelbagai peruntukan disediakan dalam menghadapi COVID-19 demi kepentingan rakyat dan memulihkan ekonomi negara.


Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata satu bentuk persefahaman boleh dirangka dalam kalangan Ahli Parlimen untuk membolehkan belanjawan yang akan dibentang pada 6 Nov itu diluluskan dengan sokongan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.


"Marilah kita letakkan kepentingan rakyat mengatasi segala kepentingan lain. InsyaAllah, dalam belanjawan yang akan dibentangkan nanti, kerajaan akan mengumumkan inisiatif-inisiatif yang bakal meringankan beban yang ditanggung oleh saudara dan saudari sekalian dalam menghadapi zaman yang sukar ini," katanya dalam perutusan khas mengenai situasi COVID-19 di sini hari ini.


Perutusan berkenaan disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen termasuk Bernama TV dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).


Beliau juga memberi jaminan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus mencari jalan terbaik untuk mengurus krisis besar yang sedang negara hadapi pada masa ini.


"Matlamat kita hanyalah satu iaitu untuk menang dalam melawan COVID-19 dan memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa terbela," katanya.


Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kerajaan memandang serius peningkatan mendadak kes COVID-19 dalam negara ketika ini dan kesannya kepada rakyat, ekonomi dan barisan hadapan.


Katanya, dalam mengurus gelombang ketiga pandemik itu, kerajaan mengambil pendekatan mengimbangi antara kepentingan melindungi nyawa rakyat dan keperluan menjamin kelangsungan hidup rakyat.


Ia tegasnya dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi kegiatan sosial, pendidikan, keagamaan, sukan dan lain-lain untuk mengurangkan pergerakan orang ramai dan memutuskan rantaian jangkitan.


"Tetapi pada masa yang sama, kita benarkan kegiatan ekonomi untuk diteruskan tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat untuk memastikan perniagaan dan industri terus beroperasi," kata beliau.


Beliau turut memperincikan perkembangan situasi semasa COVID-19 yang menurutnya dalam tempoh sebulan lepas, hampir 20,000 kes positif baharu dicatatkan berbanding 10,576 kes dalam tempoh enam bulan sebelumnya.


Katanya, jumlah keseluruhan kes positif setakat semalam ialah 30,090 kes dengan 246 kematian dan Sabah mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 13,701 kes.


"Negeri-negeri lain yang mencatatkan lebih satu ribu kes ialah Selangor (4,360 kes), Kuala Lumpur (2,991 kes), Kedah (2,080 kes) dan Negeri Sembilan (1,516 kes).


"Peta negeri Sabah dan Selangor menunjukkan hampir keseluruhan kawasan telah menjadi merah, negeri-negeri yang dahulunya berstatus hijau seperti Perak, Negeri Sembilan dan Melaka telah menjadi kuning dan sebahagian kawasan telah bertukar menjadi merah," katanya.


Beliau turut berkata peningkatan mendadak kes COVID-19 telah memberi tekanan kepada barisan hadapan negara dengan di Sabah sahaja lebih 300 petugas barisan hadapan telah dijangkiti dan lebih 1,200 petugas dikuarantin.


Katanya, ia termasuk anggota polis yang terkena jangkitan dan setakat ini hampir 11,000 anggota terpaksa dikuarantin dan keadaan ini menambah kekangan pasukan polis terutamanya bagi mereka yang bertugas di barisan hadapan. – Bernama



Comments


bottom of page