top of page
nabalunews

PM Anwar akan lawat China, hadiri Ekspo Import Antarabangsa China Ke-7

3 November 2024


PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjalankan lawatan kerja ke China dari 4 hingga 7 November atas jemputan Perdana Menteri China, Li Qiang, untuk menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China ke-7 (CIIE ke-7) di Shanghai.


Wisma Putra memaklumkan bahawa Malaysia diberi penghormatan sebagai “Country of Honour” pada ekspo tersebut tahun ini.


Lawatan ini akan disertai oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong. Semasa di Shanghai, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Li Qiang untuk membincangkan isu-isu serantau serta hubungan dua hala antara kedua-dua negara.


Anwar juga akan menyampaikan ucaptama di majlis pembukaan CIIE ke-7 dan merasmikan Astaka Malaysia serta Astaka Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM).


Beliau akan mengadakan perjumpaan dengan syarikat-syarikat perniagaan China dan sesi meja bulat bersama kapten industri untuk memperkukuh hubungan perdagangan.


Selain itu, Perdana Menteri akan melawat Beijing pada 6 November, di mana beliau akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi Jinping dan menyampaikan syarahan bertajuk “Bridging Futures: Strengthening Malaysia-China Relations and ASEAN Centrality in a Shifting Global Order” di Universiti Peking. Beliau juga akan melawat Huawei Executive Briefing Centre.


Lawatan ini diharap dapat mempererat hubungan dua hala, bertepatan dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China pada tahun ini.


China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009, dengan jumlah perdagangan mencecah RM450.84 bilion pada 2023 dan RM355.15 bilion sehingga September 2024.

Comentários


bottom of page