PM Anwar Lancar Pengoperasian Kilang Pemasangan Proton Di Mesir
13 November 2024
KAHERAH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengoperasian kilang pemasangan kereta model Proton Saga di Mesir dijangka menambah eksport kereta Proton ke Mesir kepada 16,000 unit antara 2024 hingga 2026, yang disasar menjana pendapatan sebanyak RM570 juta.
Anwar pada Selasa melancarkan pengoperasian kilang pemasangan (CKD) kereta Proton Holdings Berhad di sini yang dijangka mula beroperasi Disember tahun ini.
Menurutnya, kilang ini adalah sebahagian daripada usaha Malaysia untuk membawa cara pemikiran baharu dalam kerjasama antara kedua-dua negara.
“Proton bukan hanya industri automotif di Malaysia, ia adalah kebanggaan negara, ia adalah jenama yang dikaitkan dengan Malaysia... terkenal di banyak negara malah di Eropah,” kata beliau menerusi ucapannya pada majlis pelancaran tersebut, lapor Bernama.
Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Mesir Kamel Al-Wazir dan Pengerusi Ezz Elarab Elsewedy Industrial Investments Hisham Ezz Elarab.
Perdana Menteri berkata, usaha sama berkenaan penting untuk memajukan industri tempatan kedua-dua negara.
“Keberadaan Malaysia di Mesir ini adalah sebagai rakan kongsi berdasarkan kepercayaan dan persahabatan.
“Sebanyak RM20 juta pendapatan lagi dijangka dijana melalui jualan alat-alat ganti bagi menyokong perkhidmatan,” kata beliau.
Sementara itu, Pengerusi Proton Tan Sri Syed Faisal Albar berkata pihaknya akan terus meneroka pasaran baharu bagi memastikan jenama kereta tempatan itu terus maju.
Beliau berkata setiap tahun eksport Proton semakin meningkat dan dalam tempoh jangka sederhana syarikat itu berhasrat menjadikan Mesir sebagai hab utamanya bagi rantau utara benua Afrika.
Menurutnya, pusat pemasangan serantau di Giza, Mesir itu akan menjadi yang pertama untuk model pandu kiri syarikat berkenaan di luar negara.
“Kami berharap platform ini memberikan potensi untuk Proton berkembang lebih jauh ke negara jiran dengan menjadikan Mesir sebagai hab utama,” katanya.
Comments