PM Anwar merafak sembah tahniah, Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
31 Januari 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara.
Beliau melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Raja-Raja Melayu dan pemimpin-pemimpin negara.
"Merafak sembah setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
"Patik dan sekalian rakyat akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Duli Tuanku.
"Patik dan sekalian rakyat juga mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala semoga Duli Tuanku serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan. Daulat Tuanku," kata Anwar menerusi akaun X beliau.
Turut dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, yang juga melafaz sumpah memegang jawatan.
Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, pada Oktober lepas bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.
Comments