PM Anwar mulakan lawatan rasmi ke Korea Selatan, fokus perkongsian strategic
24 November 2024
SEOUL: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan rasmi pertamanya ke Korea Selatan hari ini, atas jemputan Presiden Yoon Suk Yeol, dalam usaha memperkukuh hubungan strategik kedua-dua negara.
Lawatan tiga hari ini, yang berlangsung sehingga 26 November, dijangka membuahkan kerjasama baharu di pelbagai sektor.
Perdana Menteri diiringi oleh beberapa menteri kabinet termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; serta Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Sebagai sebahagian daripada jadual, Anwar akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Yoon di Pejabat Presiden Yongsan untuk menilai perkembangan hubungan dua hala sejak penubuhan hubungan diplomatik pada 1960.
"Kedua-dua pemimpin akan membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama serta bertukar pandangan mengenai kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dan APEC-Republik Korea 2025," menurut kenyataan rasmi, lapor Berita RTM.
Selain itu, mereka dijangka menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman melibatkan Kerjasama Pendidikan Tinggi, Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon, serta Pendekatan Kerjasama di bawah Artikel 6, Perenggan 2 Perjanjian Paris.
Perdana Menteri juga akan menghadiri Forum Perniagaan Malaysia-Korea Selatan dan bertemu pemimpin industri dari syarikat terkemuka Korea Selatan. Dalam jadualnya, Anwar dijadual menyampaikan ucapan khas bertajuk "Strategic Partners in a Complex World: Malaysia, Korea, and the Future of Asia" di Universiti Kebangsaan Seoul.
Dari Januari hingga September 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Korea Selatan mencapai RM81.61 bilion. Sepanjang 1980 hingga Jun 2024, sebanyak 392 projek sektor pembuatan dengan pelaburan Republik Korea bernilai RM43.10 bilion telah dilaksanakan di Malaysia.
Pada 2023, Korea Selatan merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan RM111.07 bilion, menjadikan Malaysia sebagai rakan dagang ketiga terbesar Republik Korea di ASEAN dan ke-12 di peringkat global.
Comentários