PM Anwar: Rakyat perlu fokus ilmu dan kemahiran di sebalik ketidaktentuan global
24 Januari 2025
DENGKIL: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan rakyat perlu memberi tumpuan kepada bidang kritikal seperti ilmu, kemahiran dan kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh kekuatan dalaman negara di sebalik ketidaktentuan global.
Beliau berkata, ketidakstabilan dasar Amerika Syarikat (AS) dan perkembangan ekonomi dunia menuntut Malaysia membina daya tahan dan kekuatan dalaman sambil terus memperkukuh hubungan dengan ASEAN sebagai satu kekuatan serantau.
“Jadi, saya mohon kalau boleh kita jelaskan bahawa dalam dunia yang mencabar dan penuh persaingan serta ketidaktentuan ini, rakyat mesti digerakkan untuk menguasai ilmu, kemahiran dan mempunyai semangat untuk mengangkat martabat negara dan bangsa,” katanya, lapor Berita RTM.
Menurutnya, hasil lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan sesi Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland, baru-baru ini, mengukuhkan lagi keperluan mendesak untuk Malaysia mempersiapkan rakyat dalam bidang-bidang strategik.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Pusat Islam UiTM Dengkil.