PM Anwar tanam pokok ke-100 juta di taman herba
11 Disember 2024
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan
penanaman pokok ke-100 juta di Taman Herba, Parlimen, sebagai simbolik kepada kejayaan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025, pada Selasa.
Pada majlis tersebut, Anwar yang diiringi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menanam pokok Merbau atau Intsia palembanica, yang merupakan pokok kebangsaan Malaysia.
Spesies Merbau adalah antara jenis pokok yang ditanam di sepanjang Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025,
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, serta Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam satu kenyataan memaklumkan, majlis yang disempurnakan oleh Perdana Menteri itu menandakan kejayaan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025, lebih awal daripada sasaran ditetapkan.
Menurut NRES, kejayaan ini turut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang komited terhadap pemeliharaan alam sekitar, sejajar dengan agenda global pembangunan lestari.
"Sehingga kini, Malaysia berjaya mencatatkan litupan hutan sebanyak 18 juta hektar atau 54.58 peratus daripada keluasan tanah negara selari dengan komitmen negara di Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992, iaitu memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan tanah negara dilitupi pokok dan kawasan hutan," menurut kenyataan itu.
NRES memaklumkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) menganggarkan terdapat peningkatan kawasan hutan dipulihara sebanyak 20,000 hingga 80,000 hektar menjelang 2025, bergantung kepada jarak penanaman.
Kempen Penanaman 100 juta Pokok 2021-2025 adalah bukti komitmen kerajaan yang berpaksikan kepada prinsip 'Kemampanan' dalam kerangka Malaysia MADANI dan usaha ini bertujuan untuk menyumbang kepada masa hadapan yang lebih hijau dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
Kempen yang dilancarkan pada 5 Jan 2021 itu turut melibatkan kerjasama strategik dengan JPSM, jabatan-jabatan perhutanan negeri di Semenanjung, Jabatan Hutan (JH) Sarawak, Jabatan Perhutanan (JP) Sabah, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Yayasan Hijau Malaysia (YHM).
Sementara itu, Pameran Penghijauan Malaysia pula diadakan bermula Isnin sehingga Rabu di Lobi Utama Dewan Rakyat yang melibatkan penyertaan lapan agensi termasuk NRES, JPSM, JH Sarawak, JP Sabah, FRIM, YHM, Malaysia Forest Fund dan Yayasan Waqaf Malaysia.
Comments