PM Anwar ucap takziah dan kutuk serangan bom di Pakistan
10 November 2024
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah atas insiden serangan bom yang tragis di Quetta, Pakistan, yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 24 orang serta mencederakan ramai yang lain.
Beliau menzahirkan rasa dukacita terhadap kejadian yang mengerikan itu dan mengutuk tindakan keganasan yang menyasarkan orang awam dan anggota keselamatan.
“Bagi pihak Malaysia, saya mengucapkan takziah yang mendalam kepada rakyat Pakistan yang sedang berkabung atas kehilangan yang tidak masuk akal dan memusnahkan ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.
Perdana Menteri turut melabelkan serangan itu sebagai perbuatan kejam yang mencerminkan ancaman berterusan daripada ekstremisme.
“Perbuatan kejam dan keganasan menyasarkan orang awam dan anggota keselamatan adalah peringatan jelas mengenai ancaman berterusan dibawa oleh ekstremisme dan ideologi iaitu kuasa-kuasa yang merosakkan kemajuan dan keamanan dalam masyarakat Muslim.”
Beliau turut menyatakan sokongan Malaysia kepada Pakistan dalam usaha menentang keganasan, menegaskan solidariti yang kukuh antara kedua-dua negara dalam menghadapi ancaman ini.
Sebelum ini, dilaporkan serangan bom berlaku di stesen keretapi utama di ibu kota wilayah Balochistan, Quetta, di mana letupan berlaku ketika para penumpang sedang menunggu di platform pada Sabtu.
Comments