top of page
  • nabalunews

PM Gesa Kerajaan Negeri Berkolaborasi Jayakan Hasrat Modenkan Pentadbiran Tanah

19 September 2024


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan negeri agar bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha memodenkan sistem pentadbiran tanah di seluruh negara.


Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, inisiatif ini bukan sahaja bertujuan untuk mempertingkatkan kecekapan tadbir urus tanah demi manfaat rakyat dan menarik minat pelabur, tetapi turut menjadi salah satu indikator penting dalam penilaian prestasi negara oleh Bank Dunia.


Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebook selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-81 pagi tadi, lapor Bernama.


"Selain itu, saya turut tekankan kepentingan melipatgandakan produktiviti guna tanah dan tidak hanya bergantung kepada keluasan kawasan semata-mata dalam mencapai matlamat negara.


"Alhamdulillah, mesyuarat menerima baik segala pandangan amalan terbaik yang turut dikongsi oleh kerajaan negeri," katanya.


Perdana Menteri berkata mesyuarat itu adalah platform bagi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri merundingi dasar berkaitan pentadbiran tanah selain menjadi antara pemangkin kepada konsep Kerajaan MADANI yang mengupas keperluan rakyat dari aspek pertumbuhan ekonomi serta tatakelola berkesan.


Pada masa sama, beliau meminta persefahaman dan pemuafakatan kerajaan negeri untuk mengimbangi antara keutamaan negeri dengan dasar di peringkat Persekutuan khususnya agar selaras dengan komitmen Kerajaan Malaysia di medan antarabangsa.


"Antaranya terkait iltizam untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus litupan kawasan berhutan sebagai langkah adaptasi dan mitigasi bagi mengimbangi kesan perubahan iklim serta pemuliharaan biodiversiti," katanya.

Comments


bottom of page