PM mohon PDRM berpendirian tegas isu salah laku
3 Disember 2024
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk berpendirian tegas dalam soal isu salah laku.
Beliau menegaskan perkara itu perlu dipandang serius untuk menuntut perubahan demi bangsa dan negara.
“Sebab itu saya mohon kepimpinan polis, Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) ini untuk mengambil pendirian tegas, negara menuntut perubahan.
“Saya mewakili pandangan bahawa kita punyai keupayaan. Bukan leceh politik picisan, bukan simpang siur pergaduhan kaum dan agama yang tidak akan menguntungkan.
“Tetapi tumpu untuk menyelamatkan negara, aman dan meningkat laju, pemacuan pertumbuhan ekonomi itu menyelamatkan anak bangsa,” katanya dalam ucapan di Majlis Peluncuran IPCC, Police, Friends and Collaborators (IPFC) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, lapor Buletin TV3.
IPFC merupakan program di bawah Pelan Strategik IPCC yang berperanan sebagai badan pemantau bebas yang dipercayai bagi meningkatkan keyakinan rakyat kepada integriti pasukan polis.
Turut hadir, Yang di Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Comments