top of page
Wartawan Nabalu News

PM: Pengekalan Penarafan Kredit Malaysia bukti pengurusan ekonomi berhemat Kerajaan, buahkan hasil positif



28 Jun 2024

Oleh Wartawan Nabalu News

 

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan hari ini mengumumkan bahawa S&P Global Ratings (S&P) dan Fitch Ratings (Fitch) telah mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia masing-masing pada A- dan BBB+, dengan menetapkan tinjauan "Stabil".

 

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia dan tinjauan ekonomi positif oleh S&P dan Fitch menjadi bukti kepada pengurusan ekonomi berhemat Kerajaan dan agenda reformasi Ekonomi MADANI yang telah membuahkan hasil positif.

 

“Usaha ini merangkumi reformasi menyeluruh institusi untuk meningkatkan mudahcara perniagaan dan daya saing, serta penerusan pelaksanaan projek projek dan pembaharuan dasar di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Halatuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.

 

"Dengan pasaran buruh yang memberangsangkan serta pertumbuhan menggalakkan dari segi perdagangan dan pelaburan yang memacu pertumbuhan KDNK suku pertama 2024 sehingga melepasi jangkaan, Kerajaan yakin dengan kemampuan negara untuk mencapai pertumbuhan dalam julat sasaran rasmi sebanyak 4 peratus hingga 5 peratus pada tahun 2024," kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan.

 

Jelas beliau lagi, pengesahan ini mencerminkan keyakinan berterusan pemegang taruh antarabangsa terhadap prestasi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh dan berdaya tahan, meskipun cabaran permintaan luaran dan peningkatan konflik geopolitik global.

 

Menurut laporan S&P, penarafan Malaysia disokong oleh kedudukan luaran yang kukuh dan dasar monetari yang fleksibel.

 

“Tambahan pula, aliran pertumbuhan ekonomi negara ini menunjukkan peningkatan pada kadar yang lebih tinggi berbanding dengan negara berpendapatan setara,” kata S&P, menerusi kenyataan Kementerian Kewangan hari ini.

 

S&P turut menjelaskan bahawa Malaysia bakal menjadi penerima manfaat utama daripada ledakan industri semikonduktor global yang dipacu oleh pengkomputeran kecerdasan buatan (AI).

Kelestarian pertumbuhan ekonomi dan pelaksanaan reformasi subsidi pukal juga disebut sebagai faktor penting dalam pengukuhan kewangan awam negara.

 

Fitch Ratings pula mengunjur pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia akan melonjak sebanyak 4.4 peratus pada tahun 2024 dan 4.5 peratus pada tahun 2025, berbanding 3.6 peratus pada tahun 2023. Pertumbuhan ini didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan pelaburan dalam sektor pembuatan.

 

Menurut kenyataan itu, ia juga menjangka perbelanjaan domestik akan mendapat manfaat daripada pasaran buruh yang meningkat, program bantuan tunai, dan pengeluaran wang persaraan, serta pengembangan pengeluaran pembuatan dan eksport dengan pemulihan permintaan luaran untuk barang-barang elektronik.

 

Fitch turut menjangkakan lebihan akaun semasa Malaysia akan meningkat kepada 2.1 peratus dan 2.4 peratus daripada KDNK pada tahun 2024 dan 2025. Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada diversifikasi rantaian bekalan global serta peningkatan pelaburan asing yang direalisasikan pada 2024.

 

Tambah Anwar, Kerajaan juga kekal komited dalam memastikan kemampanan kewangan awam dengan mematuhi trajektori konsolidasi fiskal yang konsisten. Defisit fiskal yang telah menirus kepada 5 peratus pada 2023 dijangka akan menyusut lagi kepada 4.3 peratus pada tahun 2024.

 

“Dalam jangka sederhana, Kerajaan menetapkan defisit fiskal untuk berada pada paras 3 peratus seperti termaktub di dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2024. Ini selari dengan sasaran fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI untuk merealisasi kemampanan fiskal dan tatakelola yang baik.”

Comments


bottom of page