top of page
nabalunews

PM Singapura disambut secara rasmi di Putrajaya




7 Januari 2025


PUTRAJAYA: Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, disambut secara rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, hari ini sebelum mengadakan mesyuarat Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ketibaan Wong pada jam 9.50 pagi disambut dengan penuh istiadat oleh Anwar, termasuk alunan lagu kebangsaan kedua-dua negara serta pemeriksaan pasukan Kawalan Kehormatan dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada 103 anggota dan tiga pegawai.


Lawatan ini merupakan kali kedua bagi Wong ke Malaysia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 15 Mei 2024, selepas lawatan pertamanya pada 11 Jun tahun lalu.


Anwar malam tadi meraikan Wong dalam majlis makan malam di Rumah Tangsi. Kedua-dua pemimpin turut mengadakan perbincangan empat mata secara tertutup selama hampir dua jam mengenai usaha meningkatkan hubungan dua hala.


Pemukiman tahunan ke-11 ini menyediakan platform penting untuk menetapkan hala tuju strategik hubungan dua negara, memperkukuh kesalinghubungan, dan menyelesaikan isu tertunggak berdasarkan saling kebergantungan dan komitmen bersama.


Antara agenda utama adalah menyaksikan pertukaran Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), enam memorandum persefahaman (MoU), serta satu surat niat (LOI) berkaitan pelbagai bidang seperti pendidikan, kebajikan sosial, perubahan iklim, pembangunan bandar, dan usaha memerangi jenayah rentas sempadan.

Comments


bottom of page