PMKS terus jadi tumpuan besar kerajaan dalam Belanjawan 2025: Ewon
19 Oktober 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
PUTRAJAYA: Kerajaan Madani terus memberikan tumpuan besar kepada perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dengan memperuntukkan RM40 bilion nilai keseluruhan pinjaman dan jaminan pembiayaan untuk manfaat PMKS.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yakin, Belanjawan 2025 dapat membangunkan sosioekonomi serta mengetengahkan solusi yang ampuh bagi membantu pembangunan usahawan dan koperasi di seluruh negara.
“Seluruh warga KUSKOP komited melaksanakan inisiatif Belanjawan 2025 dan memastikan perkhidmatan kepada kumpulan sasaran dilaksanakan dengan baik bagi manfaat rakyat secara keseluruhannya.
“KUSKOP mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri dan menyambut baik pembentangan Belanjawan 2025 yang menyediakan kemudahan pinjaman serta jaminan pembiayaan perniagaan di bawah agensi-agensi kerajaan secara keseluruhannya berjumlah RM40 bilion,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ewon berkata, antara insentif yang dapat dimanfaatkan menerusi KUSKOP dan agensi-agensi dibawahnya dalam Belanjawan 2025 ialah Pinjaman bersaiz mikro tersedia sehingga RM3.2 bilion oleh TEKUN dan BSN bagi membantu penjaja kecil termasuk komuniti OKU, masyarakat Cina serta Bumiputera.
“Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan SME Bank menawarkan pembiayaan khusus kepada PMKS halal dengan dana tersedia hampir RM600 juta.
“Bagi menggalakkan generasi belia menceburi bidang perniagaan, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM20 juta untuk Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) dalam Belanjawan 2025,” katanya.
Ewon berkata, kerajaan terus menyokong aktiviti perniagaan badan-badan koperasi termasuk menyediakan modal pusingan. Dana pembiayaan sehingga RM100 juta disediakan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Katanya lagi, bagi menyokong PMKS Wanita mendapatkan modal kerja, membeli aset dan meningkatkan kapasiti perniagaan ke tahap lebih tinggi, sejumlah RM470 juta dana pembiayaan disediakan oleh SME Bank, BSN, Bank Rakyat dan MARA.
“Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas penyediaan peruntukan khusus secara berterusan untuk Program Pembangunan Premis Tamu Desa iaitu inisiatif baharu Kerajaan Madani yang dilaksanakan oleh kementerian saya bermula tahun ini.
“Ia membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan para penjaja dan peniaga kecil-kecilan khususnya di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, dari segi pembangunan rumah mampu milik di tanah-tanah wakaf, UDA iaitu salah satu agensi di bawah KUSKOP juga diperuntukkan dana RM200 juta.
Ewon berkata, secara keseluruhannya Belanjawan 2025 bukan sahaja memberikan tumpuan besar kepada kesejahteraan rakyat tetapi turut mengutamakan perlindungan golongan rentan, menambah baik prasarana asas dan menangani ketidakcekapan seperti rasuah dan ketirisan sumber.
Comments