top of page
nabalunews

Pokok tumbang, banjir kilat di Sandakan susulan hujan berterusan



25 November 2024


SANDAKAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan menerima 11 panggilan pokok tumbang sepanjang hari ini susulan hujan berterusan sejak malam semalam.


Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan, Kapten Pertahanan Awam Sulaiman Salama, berkata, lokasi kejadian pokok tumbang yang dilaporkan termasuk di Taman Rekreasi Astana Height, Taman Wemin Blok F, Batu 5 belakang Food Mart Market, Pondok Pengawal Keselamatan Astana Height, Jalan Taman Rimbayu Batu 5, Jalan Kuburan Astana Height Batu 1 ½, Lorong 5, Astana Height Batu 1 ½, Jalan Fook Lee, Batu 12, Jalan Cecily, Batu Sapi, Jalan Cecily Tanah Merah, Jalan Sepilok dan Batu 14 dan Simpang Jalan Jambatan Merah.


Menerusi satu kenyataan hari ini, Sulaiman berkata, pihaknya juga melakukan pemantauan banjir kilat di beberapa lokasi di sini antaranya Jalan Nasalim ke Bulatan Helang, Batu 10, Batu 16 dan kawasan rendah yang lain.


Bagaimana sehingga jam 5.00 petang, tiada pusat pemindahan sementara dibuka.


Manakala jalan bermula Bulatan Nasalim ke Bulatan Buaya juga telah ditutup sementara oleh pihak Jabatan Kerja Raya susulan banjir kilat yang berlaku serta bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.


Polis Traifik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan turut membantu dan memantau pergerakan kenderaan di lokasi.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Severinus Sainkui, berkata, pihaknya juga menerima laporan pokok tumbang di Jalan Jambatan Merah hari ini dan segera menghantar pasukan Bomba ke lokasi bagi mengalihkan pokok yang menghalang jalan utama itu.

Comentários


bottom of page