Pokok tumbang dan tanah runtuh di belakang Klinik Kesihatan Ibu Dan Anak Bandar Sandakan
27 November 2024
SANDAKAN: Satu kejadian pokok tumbang dan tanah runtuh berlaku di kawasan belakang dekat Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Bandar Sandakan susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik di kawasan sekitar.
Kejadian itu turut menyebabkan gangguan terhadap operasi klinik tersebut akibat ketiadaan bekalan elektrik sehingga memaksa operasi klinik diberhentikan sementara sehingga kerja-kerja pembersihan dan pembaikan untuk memulihkan bekalan elektrik selesai.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tanjong Papat, Mohd Faried Ismail yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung telah melakukan tinjauan ke lokasi kejadian bagi memastikan tindakan segera diambil oleh semua pihak berkaitan.
Pemotongan dan operasi mengalihkan pokok yang tumbang telah dilakukan pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan manakala Sabah Electricity telah menjalankan kerja-kerja berkaitan di kawasan tersebut.
Antara kawasan yang terjejas di sekitar bangunan itu adalah klinik pergigian yang terletak di bangunan sama.
Bagi tujuan keselamatan, pihak polis juga telah memasang kanvas di kawasan tanah runtuh untuk mengelakkan kejadian gelongsoran tanah susulan hujan lebat yang berterusan.
Pasukan polis juga berada di lokasi untuk memantau situasi semasa dan memastikan keselamatan penduduk serta pihak terlibat.
Frankie dalam kenyataan hari ini menyeru semua pihak agar berhati-hati dan terus mematuhi arahan keselamatan di sekitar kawasan itu.
"Pihak kami akan terus memantau keadaan dan memberikan perkembangan terkini dari semasa ke semasa," katanya.
Comments