Pokok tumbang hempap kereta
nabalunews

19 Mac 2025
KOTA KINABALU: Seorang pemandu kereta dan anaknya berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Lama Tuaran, Likas, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, wanita berusia 44 tahun bagaimanapun dilaporkan mengalami kecederaan dilutut manakala anak lelaki yang berusia lima tahun hanya luka di dahi.
Pegawai APM Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 7.06 pagi.

"Pasukan yang tiba di lokasi memaklumkan terdapat pokok tumbang menghalang jalan raya dan menghempap dua kereta.
"Kejadian turut membabitkan seorang wanita dan anak lelakinya cedera ringan dan terus diberikan rawatan awal oleh anggota APM," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk rawatan lanjut.
Katanya, pasukan APM segera melakukan kerja-kerja pemotongan dan pengalihan pokok tumbang menggunakan alat pemotong 'chainsaw' selain anggota lain membantu mengawal lalu lintas.
"Operasi mengalihkan pokok tumbang berjaya dilakukan dan operasi ditamatkan pada jam 7.49 pagi," katanya.
Comments