Pokok tumbang hempap rumah, kereta di Beluran
- nabalunews
- 2 minutes ago
- 1 min read

24 April 2025
BELURAN: Sebatang pokok kelapa tumbang menghempap sebuah rumah dan sebuah kereta jenis Proton Waja dalam kejadian yang berlaku di Taman Perumahan Beluran petang tadi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran menerima panggilan kecemasan menerusi talian balai pada jam 6.48 petang.
Sepasukan lima anggota bersama sebuah jentera jenis FRT telah dikerahkan ke lokasi dan tiba lima minit kemudian.
“Komander Operasi melaporkan setibanya di lokasi kejadian, sebatang pokok kelapa telah menghempap atap rumah dan sebuah kereta jenis Proton Waja,” menurut kenyataan itu.
Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemotongan pokok menggunakan gergaji berantai dan mengalihkan batang pokok ke kawasan yang selamat.
“Pasukan Bomba membuat operasi memotong pokok tersebut menggunakan gergaji berantai dan mengalihkan pokok di kawasan selamat,” jelas kenyataan itu lagi.
Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian tersebut. Pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.41 malam.
Comments