top of page

Polis Buka Dua Kertas Siasatan Kes tampar Pemandu Wanita

nabalunews


22 Mac 2025


LABUAN: Polis membuka dua kertas siasatan berhubung insiden menampar pemandu wanita yang disyaki berlaku di Jalan Tun Mustapha, di sini, 21 Mac lalu.


Kejadian yang dilaporkan berlaku pada jam 3.51 petang itu melibatkan seorang lelaki yang didakwa memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain.


Kejadian berkenaan sempat dirakam pengguna jalan lain dan tular di laman sosial facebook sehingga menerima pelbagai kritikan daripada netizen.


Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, kertas siasatan pertama dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa yang berusia 28 tahun.


Katanya, siasatan kedua pula dibuka mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan lain.


“Pihak polis juga menjalankan siasatan selari mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam

(Kelakuan dan Tatatertib) 1993 berkaitan kegagalan mengambil laporan pihak mangsa.


“Pihak polis turut meminta saksi kejadian tampil memberi maklumat bagi membantu

siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Mohd Hamizi berkata, sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Ruslan Tarai ditalian 019-3000011 atau 087-412222.


Sehubungan itu, Mohd Hamizi menyarankan orang awam atau pengguna jalan supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya.


Katanya, pengguna jalan juga dinasihatkan supaya sentiasa bersabar dan memandu dengan berhemah bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.


Terdahulu, kejadian berkenaan dipercayai berpunca daripada kenderaan suspek yang dipandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain.


Mohd Hamizi berkata, menerusi kenyataan pemandu wanita terbabit, tindakan suspek memandu secara melulu mengakibatkannya terpaksa menekan brek secara mengejut.


Katanya, selepas kejadian itu, berlaku insiden

pertengkaran antara mereka sehingga suspek bertindak menampar pipi kiri pemandu wanita terbabit.


“Kedua-dua pihak pergi ke Balai Polis Labuan selepas kejadian dan kes dirujuk ke bahagian siasatan namun tindakan penyelesaian tidak memuaskan hati pihak mangsa.


“Mangsa juga mendakwa pihaknya belum menerima maklumbalas dari pihak polis mengenai kejadian dan tidak tahu apa tindakan selanjutnya yang diambil bagi membela nasib dirinya,” katanya.

ความคิดเห็น


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page