Polis Buru Pemandu Toyota Hilux Putih
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

22 April 2025
LAHAD DATU: Polis sedang menjalankan siasatan untuk mengesan pemandu Toyota Hilux putih yang dirakam memandu secara merbahaya dalam kejadian di daerah ini, 17 April lalu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, berdasarkan siasatan awal, kenderaan dengan nombor pendaftaran SD8929F itu dimiliki oleh penama Basri Umar.
Katanya, kenderaan pacuan empat roda berkenaan didaftarkan di alamat Perumaham Baiduri, Felda Sahabat 7, di sini.
“Kes tular mengenai tiga kenderaan yang memotong secara merbahaya di daerah ini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Setakat ini, dua pemandu dari dua lagi kenderaan terlibat sudah tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, Dzulbaharin menasihatkan suspek untuk menyerah diri ke IPD Lahad Datu dalam kadar segera untuk membantu siasatan.
Katanya, pihak polis juga meminta bantuan orang ramai yang mengenali suspek untuk memintanya tampil ke IPD Lahad Datu.
Terdahulu, berdasarkan kepada rakaman tular, kejadian dipercayai berlaku pada jam 5.44 petang di sebuah jalan di daerah Lahad Datu.
Rakaman berdurasi 17 saat yang dirakam menggunakan kamera papan pemuka itu memaparkan tiga kenderaan iaitu dua Toyota Hilux dan sebuah Proton Saga cuba memotong di laluan bertentangan.
Bagaimanapun, insiden memotong digariskan berkembar itu tidak menyebabkan berlakunya kemalangan.
Comments