top of page
  • nabalunews

Polis keluarkan 7 notis saman dalam Op Bersepadu

12 September 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TAWAU: Polis mengeluarkan tujuh notis saman dalam Op Bersepadu yang dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di Jalan Lapangan Terbang Tawau, semalam.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, antara kesalahan yang dikesan adalah lesen kenderaan memandu (LKM) tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, tidak menggunakan tali pinggang keledar dan visor topi keledar gelap.


Katanya, sebanyak 118 orang melibatkan 106 buah kenderaan diperiksa dalam operasi yang turut melibatkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Sabah dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).


“Dalam operasi ini juga, pihak JPJ mengeluarkan lapan notis, manakala MOTAC Sabah memeriksa 37 buah bas persiaran yang membawa pelancong,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Operasi selama tiga jam bermula 9 pagi itu, melibatkan empat pegawai serta 13 anggota daripada pasukan tersebut.


Dalam pada itu, Jasmin berkata, operasi tersebut dijalankan bagi memastikan pengguna jalan raya serta pengangkutan awam sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas bagi mencegah kes kemalangan jalan raya.


Tambahnya, BSPT Tawau juga komited dalam melaksanakan penguatkuasaan untuk memberikan peringatan dan kesedaran kepada pengguna kenderaan supaya selamat semasa berada di atas jalan raya.

Comments


bottom of page