top of page
  • nabalunews

Polis maklum mesej tular individu menyamar dan merompak di aplikasi WhatsApp


6 September 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TAWAU: Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin memberitahu pihaknya maklum berkenaan penyebaran mesej mengenai sekumpulan individu menyamar dan melakukan rompakan yang tular di aplikasi WhatsApp.


Menurutnya, 'posting' itu mendakwa ‘satu kumpulan pergi dari rumah ke rumah berpura-pura menjadi Pegawai Dalam Negeri' dan mereka dikatakan mempunyai dokumen dan kepala surat jabatan Kementerian Dalam Negeri (KDN).


Kumpulan itu turut mendakwa mereka perlu mengesahkan bahawa semua orang mempunyai kad pengenalan yang sah untuk banci yang akan datang.


Jasmin mengesahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau setakat ini tidak menerima sebarang laporan polis daripada mana-mana pihak berkaitan kejadian yang dilaporkan ataupun kejadian dirompak oleh individu menyamar seperti didakwa.


Beliau bagaimanapun, menasihatkan semua masyarakat agar sentiasa mengambil sikap berhati-hati dan berwaspada dalam setiap keadaan.


"Untuk makluman, pada masa ini daerah Tawau berada dalam keadaan baik dan terkawal," katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Jasmin turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa bekerjasama baik dengan Balai Polis berhampiran dan menyimpan nombor telefon talian Hotline IPD Tawau di 089-772121 atau Balai Polis berhampiran mereka.


Sekiranya berlaku sebarang kejadian, katanya, orang ramai boleh berhubung dengan polis atau tampil membuat laporan di Balai Polis yang berhampiran.

Comments


bottom of page