Polis Penampang laksana OBMJ sempena ambang tahun baru 2025
2 Januari 2025
PENAMPANG: Polis Daerah Penampang melaksanakan Operasi Bersepadu Mencegah Jenayah (OBMJ) sempena ambang tahun baru 2025, pada malam tahun baharu.
Operasi ini melibatkan kehadiran menyeluruh pasukan polis di kawasan hotspot dan tumpuan ramai, bertujuan mengurangkan risiko jenayah.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, mengetuai operasi bersama 12 Pegawai Kanan Polis dan 59 anggota Pangkat Rendah Polis.
“Operasi itu melibatkan dua sekatan jalan raya di Jalan Penampang By-Pass dan Jalan Papar menghala ke Kota Kinabalu (berhadapan Public Bank Putatan).
"Selain pencegahan jenayah, operasi ini adalah medium pihak polis mendekati masyarakat setempat dalam memudahkan penyampaian dan perkongsian maklumat jenayah di kawasan serta persepsi ‘fear of crime’," kata Superintendan Sammy menerusi perkongsian Facebook Polis Daerah Penampang semalam.
Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang turut menjalankan serbuan di sebuah premis hiburan. Hasil saringan air kencing ke atas 17 lelaki dan 6 wanita pengunjung premis itu didapati negatif.
Selain itu, rondaan turut diperluaskan ke taman perumahan dan kampung-kampung untuk mencegah kejadian pecah rumah dan curi kenderaan.
Commentaires