top of page

Polis rampas 15 paket syabu selepas pergelutan dengan suspek

nabalunews


25 Mac 2025


TAWAU: Polis berjaya merampas 15 paket dadah jenis Syabu seberat 83.43 gram selepas bergelut dengan seorang suspek dalam kejadian di kawasan Kg Kurnia Jaya, Batu 4 Jalan Apas, semalam.


Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, lelaki berusia 30 tahun tanpa dokumen diri itu ditangkap dalam serbuan Ops Tapis oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Tawau.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek yang memakai beg silang berwarna hitam sebelum itu dilihat mencurigakan dan sedang berlegar-legar di kawasan berkenaan.


“Sebaik pasukan serbuan mendekatinya, suspek bertindak melarikan diri sebelum mencampakkan beg silangnya.


“Bagaimanapun, suspek berjaya diberkas walaupun berlaku pergelutan,”katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Jasmin berkata, hasil pemeriksaan di dalam beg silang itu, polis menemukan 15 paket plastik lutsinar yang setiap satu mengandungi Syabu dianggarkan seberat 83.43 gram bernilai RM8,000.


Katanya, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


“Semakan rekod jenayah mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau, manakala ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya juga didapati negatif dari sebarang penyalahgunaan dadah.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page