top of page
nabalunews

Polis siasat teksi dipandu dalam keadaan kedua-dua pintu belakang terbuka



Teksi dipandu dalam keadaan pintu belakang terbuka yang tular di media sosial.

15 January 2025


Oleh: Wartawan Nabalu News 


TAWAU: Polis menyiasat insiden sebuah teksi yang dipandu dalam keadaan kedua-dua pintu penumpang belakang terbuka yang rakaman video kejadian tular di media sosial sejak semalam. 


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya melancarkan usaha mengesan pemilik teksi itu berdasarkan video tular berkenaan selepas Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Tawau menerima maklumat kejadian sekitar jam 3.30 petang.


Menurutnya, hasil semakan melalui sistem Mobile Card Acceptance Device (MCAD) kira-kira jam 10.20 pagi, mendapati kenderaan itu dimiliki seorang  lelaki tempatan, 54.


Katanya, hasil siasatan BSPT mendapati kenderaan itu terbuka di kedua-dua belah pintu penumpang bahagian belakang disebabkan tindakan pemiliknya membawa muatan sebuah televisyen bersaiz besar.


"Televisyen itu disimpan di bahagian penumpang belakang kenderaan sehingga pintunya tidak dapat ditutup rapat,"katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Jasmin berkata, polis mengeluarkan notis saman di bawah Rule 18 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana membawa barangan di atas kenderaan dengan membahayakan kenderaan lain atau orang lain terhadap pemilik kenderaan itu.


"Pemilik kereta juga diminta menjalani ujian saringan dadah (SD2) dan ujian air kencing"katanya.


Tambahnya, kejadian seumpama itu bukan sahaja mengundang bahaya kepada penumpang, tetapi juga boleh menyebabkan kemalangan kepada pengguna jalan raya yang lain.


Justeru itu, beliau menyeru orang ramai agar lebih bertanggungjawab semasa menggunakan media sosial dengan melaporkan sebarang kejadian berbahaya terus kepada pihak berkuasa agar tindakan segera dapat diambil.


Video kejadian itu dikongsi seorang pengguna media sosial yang memaparkan situasi berbahaya sehingga mencetuskan kebimbangan ramai.

Comments


bottom of page