top of page
  • nabalunews

Polis siasat video turunkan Jalur Gemilang di Australia


23 September 2024


KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat terhadap penularan video bendera Jalur Gemilang diturunkan dan digantikan dengan bendera Sabah dan Sarawak.


Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap penularan video mengenai sabotaj Jalur Gemilang.


Menurutnya, siasatan polis mendapati kejadian itu dikesan berlaku di Melbourne, Australia pada 16 September lalu.


"Kita mendapati sekumpulan individu menurunkan bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang sebagai simbolik menamatkan penjajahan Malaysia terhadap dua negeri berkenaan dan menjadikannya sebagai republik.


"Setakat ini, polis menerima sebanyak 35 laporan polis mengenai penularan video berkenaan membabitkan 34 laporan polis dibuat di Sabah dan satu di Kuala Lumpur," katanya dalam sidang media Pulapol, di sini, hari ini.


Razarudin berkata, siasatan lanjut polis dalam isu itu mendapati video berkenaan ditularkan oleh seorang pemilik akaun media sosial iaitu warga tempatan beralamat di Sabah.


"Semakan lanjut polis mendapati individu itu memiliki dua rekod jenayah lampau kesalahan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta sedang dibicarakan di Mahkamah Kota Kinabalu.


"Suspek bagaimanapun bebas dengan ikat jamin sebanyak RM3,000 di mahkamah sementara sedang menunggu sebutan semula kes pada November depan.


"Pada masa yang sama, kita juga sedang menyiasat hubungan antara suspek dengan individu yang dirakam melakukan perbuatan berkenaan (menurunkan bendera)," katanya.


Sebelum ini, tular video dilaman sosial berdurasi lapan minit 13 saat yang memaparkan sekumpulan individu bertindak menurunkan bendera Malaysia dan menaikkan bendera Sabah dan Sarawak pada paras separuh tiang di hadapan bangunan Parlimen Victoria di Melbourne, Australia.

ความคิดเห็น


bottom of page