top of page
nabalunews

Polis tahan wanita disyaki terlibat kes curi babitkan kerugian RM29, 000


5 Disember 2025


TAWAU: Polis menahan seorang wanita warga tempatan yang disyaki terlibat kes kecurian di sebuah pusat latihan kraftangan di kawasan bandar Fajar membabitkan kerugian RM29, 000 sekitar jam 4 petang, semalam.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek, 32, ditangkap selepas berjaya dikesan hasil risikan oleh sepasukan polis dari Strike Team, Balai Polis Tawau.


Menurutnya, sebuah mesin jahit yang dilaporkan hilang oleh pihak pengurusan pusat latihan tersebut pada 5 April 2022, yang lalu, turut dirampas.


Katanya, dalam laporan polis tersebut, pengadu mengatakan premis tempat kerjanya dipecah masuk apabila menyedari pintu pagar terbuka dan tombol pintu di bahagian dalam pejabat terdapat kesan umpil serta terbuka.


"Hasil pemeriksaan di dalam pejabat mendapati keadaan berselerak serta terdapat barang yang hilang seperti satu unit mesin jahit sulam jenis janome, satu unit mesin jahit jenama horizon, satu unit penapis air coway dan wang tunai berjumlah RM2,300.


"Pengadu menganggarkan jumlah kerugian dalam kejadian itu bernilai RM29,000,"katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Jasmin berkata, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk premis dengan niat mencuri.


Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Comentários


bottom of page