Polis terima kes laporan palsu, dakwaan menjadi mangsa samun bersenjata di daerah Sandakan
9 Januari 2025
SANDAKAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan pada awal pagi semalam menerima satu kes laporan palsu yang mendakwa menjadi mangsa samun bersenjata di daerah Sandakan
Menerusi kenyataan Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek, laporan diterima daripada seorang pengadu perempuan warga tempatan berumur 34 tahun bersama seorang lagi rakannya berumur 20 tahun telah menjadi mangsa samun.
Jelasnya, pengadu memberitahu dalam kejadian tersebut, dua unit telefon bimbit mereka dan wang berjumlah RM136 telah dilarikan oleh tiga orang suspek bersenjatakan pisau pada jam 7.00 malam hari sebelumnya di Bandar Sandakan.
"Bertindak atas maklumat, siasatan telah dijalankan oleh Polis dan mendapati keterangan yang diberikan pengadu dan rakannya adalah tidak konsisten dan diragui,” tambah beliau.
Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati kejadian samun yang didakwa berlaku di Bandar Sandakan tidak pernah berlaku seperti dakwaan dalam laporan mereka.
Sebaliknya, pengadu dan rakannya itu telah menggadaikan telefon bimbit mereka di kedai pajak.
Siasatan juga mendapati kedua-dua pengadu itu adalah suri rumah dimana mereka bertindak sedemikian kerana terdesak memerlukan duit untuk membeli barang kosmetik tetapi bimbang dimarahi oleh suami mereka.
Abdul Fuad berkata, pengadu dan rakannya akan disiasat dibawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu.
Beliau menasihatkan orang awam tidak bertindak sedemikian kerana jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan, pelaku boleh dihukum penjara 6 bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Comments