top of page

Polis tumpas sindiket dadah, rampas syabu bernilai RM101,000 di Kota Kinabalu dan Penampang

nabalunews

4 Mac 2025


KOTA KINABALU: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah susulan operasi khas yang dijalankan pada 27 Februari lalu, dengan rampasan syabu seberat lebih tiga kilogram bernilai RM101,000 di dua lokasi berasingan di Kota Kinabalu dan Penampang.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, berkata operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu itu membawa kepada penahanan seorang wanita berbangsa Suluk berusia 25 tahun.


“Suspek pada ketika itu sedang memegang sebuah beg kertas di hadapan sebuah kenderaan jenis Proton Satria yang dipandu oleh seorang lelaki Melayu berusia 70 tahun di Api-Api Centre, Kota Kinabalu.


“Hasil pemeriksaan mendapati beg kertas yang dibawa suspek wanita mengandungi syabu seberat 1,048.02 gram. Susulan tangkapan itu, pemeriksaan di sebuah rumah di Penampang menemukan 2,110.03 gram lagi syabu,” katanya dalam kenyataan.


Menurut beliau, sindiket ini dipercayai mengedar syabu dalam kuantiti besar kepada pengedar kecil untuk dijual mengikut permintaan sekitar Kota Kinabalu dan Penampang. Dadah yang dirampas dianggarkan mampu menampung keperluan kira-kira 15,790 penagih.


“Hasil saringan awal mendapati suspek wanita positif ketamin, methamphetamine, dan amphetamine, manakala suspek lelaki negatif dadah. Sindiket ini dipercayai aktif sejak awal 2024,” tambahnya.


Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan. Suspek telah direman mulai 27 Februari bagi membantu siasatan.


Selain itu, tindakan diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988 dengan penyitaan aset termasuk sebuah Proton Satria, tiga bentuk cincin, tiga utas jam tangan, dan wang tunai RM1,066, menjadikan jumlah sitaan bernilai RM326,109. Secara keseluruhan, nilai rampasan dadah dan sitaan dalam kes ini mencecah RM427,109.


Polis kini giat mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas dan menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page