Politik Perlu Rasional, Bukan Sentimental - Salleh
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

21 April 2025
KOTA KINABALU: Pendekatan politik masa kini perlu bersifat rasional dan berpaksikan kepentingan rakyat, bukannya dipengaruhi sentimen semata-mata, kata bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Dalam satu kenyataan menerusi media sosial, Salleh berkata kesediaan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menunjukkan adanya titik persamaan dalam menyokong Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, pendekatan tersebut jelas menolak konsep kerjasama eksklusif antara parti tempatan semata-mata dan sebaliknya membuka ruang kerjasama yang lebih luas di peringkat nasional.
“Dalam politik, keutamaan harus diberikan kepada rakyat dan bukannya sentimen. Parti politik hanyalah saluran dengan matlamat sebenar untuk mempertahankan hak Sabah serta memastikan pembangunan sampai ke seluruh negeri,” katanya.
Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan berkata, proses rundingan dalam politik memerlukan kesabaran, kejelasan matlamat serta sikap saling menghormati antara semua pihak.
“Apa yang telah diambil daripada Sabah mesti dikembalikan — bukan sebagai pemberian, tetapi sebagai tuntutan keadilan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kerjasama politik tidak harus ditafsir sebagai pengorbanan prinsip, sebaliknya merupakan ruang untuk memperkukuh kedudukan Sabah dalam Persekutuan.
“Yang penting ialah keikhlasan, keutamaan kepada rakyat, dan kesatuan dalam memperjuangkan aspirasi bersama,” katanya.
Terdahulu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menyatakan keterbukaan untuk menjalin kerjasama dengan PH.
Commenti