top of page
nabalunews

Pondok Polis dibina di Kaingaran, Ranau mudahkan penduduk berurusan

2 Disember 2024


RANAU: Sebuah pondok polis akan dibina di Mukim Kaingaran, Ranau bagi memudahkan penduduk setempat berurusan memandangkan jarak kawasan itu dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, agak jauh.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata pembinaan pondok itu akan dilaksanakan selepas lokasi tapak yang sesuai sudah dikenal pasti kelak.


"Memandangkan jarak kawasan ini dengan IPD Ranau mengambil masa lebih kurang 3 jam, maka kita bercadang untuk membuat 1 pondok polis di kawasan ini bagi memberikan perkhidmatan kepada masyarakat, terutama apabila masyarakat mahu membuat laporan polis berkaitan dengan kematian, kelahiran, kehilangan dokumen dan sebagainya sebab jarak perjalanan 3 jam pergi sahaja, mengambil kos yg tinggi, jadi ini agak membebankan masyarakat.


'Adalah lebih baik kita memberikan perkhidmatan secara langsung di kawasan ini untuk memudahkan masyarakat," katanya.


Jauteh berkata pelaksanaan pondok polis ini bergantung kepada kesesuaian tapak di lokasi pondok polis dan penyaluran peruntukan oleh kerajaan.


Jauteh ditemui media di program Karnival Pencegahan Jenayah Kepolisan Komuniti anjuran Polis Kontinjen Sabah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kaingaran, Ranau pada Sabtu.


Program ini berlangsung selama dua hari, bermula 29 November lalu dan turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.

Commenti


bottom of page