top of page
  • nabalunews

Pope Francis puji dasar SG bantu golongan lemah, harap tumpuan khusus pada golongan miskin dan warga emas

13 September 2024


SINGAPURA: Pope Francis memuji dasar Singapura yang menyokong golongan paling lemah. Beliau berharap perhatian khusus diberikan kepada golongan miskin dan warga emas.


Pemimpin Gereja Katolik itu yang berucap dalam Bahasa Itali kepada kakitangan pemerintah dan masyarakat sivil pada Khamis, 12 September, menarik perhatian bahawa kerja keras golongan miskin dan warga emas menyediakan asas buat negara itu.


Pope Francis juga menggesa Singapura supaya melindungi pekerja asing.


"Pekerja-pekerja ini memberikan sumbangan besar dan perlu diberikan pendapatan yang adil," katanya di Pusat Kebudayaan Universiti (UCC) Universiti Nasional Singapura (NUS).


Pope Francis dijemput ke Bangunan Parlimen di mana beliau berjumpa dengan Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Perdana Menteri Lawrence Wong, semalam.


Beliau juga dihadiahkan orkid hibrid yang dinamakan sempena namanya.


Dalam ucapannya, Pope Francis memuji kisah Singapura mengenai pertumbuhan dan daya tahan, sambil menambah negara itu sudah mencapai tahap pembangunan yang maju yang hanya boleh tercapai hasil keputusan yang rasional.dan bukan secara kebetulan.


"Ia penting bagi Singapura bukan saja maju dari segi ekonomi tetapi juga berusaha untuk membangunkan masyarakat, di mana keadilan sosial dan kepentingan buat semua dijunjung tinggi," katanya.


Beliau merujuk kepada dasar perumahan awam Singapura, pendidikan bermutu tinggi dan sistem jagaan kesihatan yang cekap.


Pope Francis menyifatkan Singapura sebagai negara yang berbilang kaum, budaya dan agama dan hidup bersama dalam harmoni.


Paus berkata ciri inklusif ini dimudahkan oleh pendirian tidak berkecuali pihak berkuasa yang terlibat dalam dialog yang membina dengan semua pihak.


Sifat saling hormat-menghormati, kerjasama, dialog dan kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing dalam sekitaran undang-undang, membolehkan negara ini berjaya dan menjadi stabil, katanya.


"Perkara tersebut diperlukan untuk mengelakkan sebarang konflik dan huru-hara, serta sebaliknya menyediakan pembangunan yang seimbang dan mampan," tambahnya.


Menurut Pope Francis, Gereja Katolik di Singapura membuat sumbangannya tersendiri kepada pembangunan negara, terutama dalam bidang pendidikan dan jagaan kesihatan.


Sedang berlakunya konflik dan peperangan di merata dunia, Singapura memainkan peranan di peringkat antarabangsa, kata Pope Francis, dengan menarik perhatian kepada tumpuan negara ini kepada kepelbagaian hubungan dan menggalakkan kedudukan berdasarkan peraturan bagi semua pihak.


"Saya menggalakkan anda untuk terus berusaha terhadap perpaduan dan persaudaraan manusia serta kebaikan bersama semua golongan dan negara, dengan cara yang tidak mengenepikan orang lain atau terhad kepada kepentingan negara anda saja," tambahnya.


Presiden Tharman berkata Pope Francis "adalah suara buat seluruh dunia", menentang peperangan, menggalakkan harmoni dan dialog antara kumpulan dan agama berbeza.


Rakyat Singapura menghargai berada di sebuah negara di mana pelbagai kumpulan etnik dan agama hidup bersama secara aman, katanya.


"Kepelbagaian diterima di Singapura, namun ia perlu lebih daripada itu. Ia dipuji dan dilihat sebagai menggalakkan sesuatu yang bermakna kepada kehidupan kita," tambah Presiden Tharman, yang menarik perhatian tentang peranan dimainkan ketua agama dan masyarakat.


"Ia tidak berlaku secara semula jadi. Ia diusahakan hasil pembinaan jati diri negara selama beberapa dekad."


Pope Francis juga menekankan peranan keluarga, sambil menambah bahawa asas yang dibina keluarga sedang dicabar oleh masalah sosial sekarang.


Pihak keluarga perlu dibenarkan untuk menyampaikan nilai-nilai yang "memberi makna dan menentukan kehidupan," dan mendidik golongan muda tentang cara menjalin hubungan yang kukuh dan sihat.


'Usaha untuk menggalakkan, melindungi dan membantu kesatuan keluarga menerusi usaha pelbagai institusi wajar dipuji," tambahnya.


Pope Francis kemudiannya mengetuai upacara keagamaan dan menyampaikan ceramah kepada 50,000 orang di Stadium Negara Singapura pada petang Khamis, 12 September.

Comments


bottom of page