top of page
nabalunews

Pos Felda Selatan Kalabakan bernilai RM1.8 juta siap sepenuhnya

30 December 2024


Oleh: Wartawan Nabalu News



TAWAU: Pos Felda Selatan, Kalabakan bernilai RM1.8 juta yang mula dibina pada 15 November 2023 siap sepenuhnya pada 27 September 2024 iaitu dalam tempoh 10 bulan, walaupun terdapat kelewatan sekitar 38 hari.


Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Tan Sri Datuk Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, pos berkenaan yang dibina di bawah pembiayaan Kementerian Ekonomi, mula diduduki sub elemen sejak 3 Disember lalu.


Menurutnya, pos tersebut merupakan salah satu daripada pelbagai projek pembangunan sempadan bernilai RM2.026 bilion yang diluluskan untuk Sabah-Sarawak-Kalimantan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).


“Pos ini dilengkapi dengan blok kediaman dan pentadbiran serta kemudahan lain dan diduduki sub elemen yang merupakan markas taktikal bagi satu platun serta boleh menempatkan 30 anggota,”katanya kepada media sempena perasmian Pos Felda Selatan, Kalabakan di sini, hari ini.


Muhammad Hafizuddeain berkata, Pos Felda Selatan memiliki kedudukan yang amat strategik dari sudut pertahanan dan keselamatan negara kerana lokasinya hanya pada jarak 14 kilometer (km) dari sempadan Indonesia, sekaligus menjadi aset pertahanan yang kritikal dalam pengawasan sempadan Malaysia - Indonesia.


Katanya, dari segi impak strategik, pembinaan pos tersebut bukan sahaja mengukuhkan kawalan sempadan di sektor Tawau - Kalabakan, tetapi juga meningkatkan keupayaan pencegahan aktiviti rentas sempadan tidak sah.


Mengulas lanjut, beliau berkata, pembinaan Pos Felda Selatan merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik kerajaan untuk mengukuhkan keselamatan sempadan negara di Sabah dan Sarawak.

 

Katanya, pembinaan pos tersebut juga merupakan bukti komitmen kerajaan dalam memastikan keselamatan negara sentiasa menjadi keutamaan.

 

“Ini adalah selaras dasar pertahanan negara yang menekankan pendekatan menyeluruh melibatkan semua pihak iaitu kerajaan persekutuan, negeri Sabah, agensi keselamatan dan komuniti setempat,”katanya.

 

Beliau yakin keselamatan sempadan negara akan terus diperkukuh dengan dengan pelaksanaan projek-projek pembangunan RMK-12 serta rolling plan seterusnya pada 2025 bernilai RM397 juta untuk Sabah dan Sarawak.

Comments


bottom of page