top of page
nabalunews

Pos keselamatan diwujudkan di Pulau Sebatik




30 November 2024


TAWAU : Majlis Keselamatan Negara (MKN) merancang untuk menubuhkan sebuah pos keselamatan yang dikawal Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pulau Sebatik, Kalabakan yang terletak berhampiran sempadan Indonesia.


Untuk rekod, Pulau Sebatik terbahagi dua kepada Wilayah Malaysia di Utara dan Indonesia di Selatan.


Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi berkata, penubuhan pos kawalan itu bagi menjamin tahap keselamatan penduduk, meningkatkan keyakinan rakyat serta membenteras kegiatan tidak diingini pada masa hadapan.


“Penubuhan pos kawalan ini menepati keperluan semasa, disamping mampu memberi tumpuan kepada penugasan bersama dalam meningkatkan keselamatan di negeri Sabah.


“Kedudukan Pulau Sebatik berhampiran dengan persempadan negara jiran Indonesia adalah langkah terbaik dalam meningkatkan keselamatan kedua-dua negara,” katanya seperti dilaporkan Info X.


Mohd Sofi berkata demikian di Program Jiwa Murni Perdana di Sekolah Kebangsaan (SK) Mentadak Baru, Pulau Sebatik, pada Jumaat.


Penganjuran program ini sempena sambutan 10 tahun Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat.


“Program ini adalah salah satu daripada 91 program yang dijalankan Kementerian Pertahanan sebagai Pelan Strategik MINDEF.


“Tujuan program ini untuk merapatkan hubungan agensi keselamatan ATM bersama dengan penduduk tempatan di Pulau Sebatik diwakili Tentera Darat Malaysia,” kata Mohd Sofi.


Menurutnya, Pulau Sebatik adalah lokasi bersesuaian melaksanakan program ini berikutan kedudukan strategiknya untuk meninjau dan meningkatkan tahap keselamatan di kawasan berkenaan.


“Kita mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak terlibat termasuk ketua agensi keselamatan, sekolah, ibu bapa serta warga kampung.


“Sokongan berterusan ini perlu diteruskan pada masa depan bagi memastikan tahap keselamatan akan ditingkatkan pada masa depan,” katanya.

Comentários


bottom of page