
1 Mac 2025
PENAMPANG: Kaedah penanaman mudah dan tidak memerlukan ramai tenaga kerja membuatkan perusahaan tanaman roselle menjadi potensi terbaik menjana pendapatan komuniti.
Menerusi inisiatif Projek Kebun Komuniti, Penanaman dan Inovasi Roselle di Kampung Madsiang, semakin menggalakkan walaupun hanya mula diusahakan tahun lalu.
Malah ia semakin mudah dengan adanya Pusat Pembelajaran Komuniti Madsiang (Madsiang CLC) yang menyediakan kemudahan latihan serta lokasi jualan produk yang berjaya dihasilkan.

Pengerusi Moyog Innovation House, Juddy Lasius berkata, dengan adanya Madsiang CLC, ia menjadi tapak yang sesuai untuk melaksanakan Projek Kebun Komuniti, Penanaman dan Inovasi Roselle.
Katanya, projek berkenaan juga melibatkan dua lokasi utama di Moyog, iaitu Timpoluon Sokid dan Raganan Mongkusilad Moyog, yang telah menjadi pusat eksperimen dan latihan bagi peserta program.
“Kenapa roselle dipilih, kerana ia bukan sekadar tanaman biasa sebaliknya mempunyai nilai komersial yang tinggi dan boleh diproses menjadi pelbagai produk seperti teh, jem, serbuk minuman dan bahan kosmetik.

“Melalui projek ini, peserta bukan saja diajar menanam roselle, tetapi juga diberikan latihan dalam pemprosesan dan pemasaran produk-supaya hasil tanaman dapat dijual dalam bentuk yang lebih bernilai tinggi,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Juddy berkata, ketika ini mereka mempunyai tanaman sebanyak 500 pokok dan boleh dituai sehingga 4 kali setahun.
beliau juga amat berterima kasih kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang sentiasa memberi sokongan penuh kepada usaha program berkenaan.

Sementara itu, salah seorang usahawan tanaman roselle, Sabina Daitah, 55, berkata, tanaman roselle amat mudah dan kurang risiko penyakit.
Malah katanya, ia boleh dipetik ketika berusia tiga hingga empat bulan untuk menghasilkan produk minuman.
"Ia juga tidak memerlukan air yang banyak dan tanaman yang kaya dengan khasiat ini mempunyai rasa sedap.

“Ia menjadi lebih menarik apabila boleh dijadikan pelbagai jenis minuman selain hidangan manisan atau ‘puding’ yang digemari ramai khususnya kanak-kanak,” katanya.
Seorang lagi usahawan roselle, Mary Gaising, 43, berkata, dia mempelajari mengenai tanaman ini sejak September tahun lalu.
Bagaimanapun katanya, ia menjadi sangat mudah dengan bimbingan dan khidmat nasihat yang disediakan di Madsiang CLC.
“Setiap minggu, kami boleh menuai sehingga 10 kilogram roselle dan ia boleh menghasilkan banyak pelbagai jenis minuman termasuk campuran alkohol.
“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu kami, saya percaya minuman ini boleh menembusi pasaran yang lebih besar selepas ini,” katanya.
Comments