top of page

PPM Patahkan Kegiatan Pindah Minyak Diesel Bersubsidi

nabalunews


18 Mac 2025


KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan sebuah kapal kargo selepas dipercayai melakukan kegiatan pemindahan minyak diesel bersubsidi secara haram di perairan Sepanggar, di sini, semalam.


Dalam operasi berkenaan, kapal kargo yang didapati membawa 39,780 liter minyak diesel itu terus dirampas untuk tindakan selanjutnya.


Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, kejayaan rampasan itu hasil risikan dan pemantauan selama tiga jam oleh Unit Risikan Marin dan bot ronda.



Katanya, sebaik ditahan, pasukan operasi menahan empat individu termasuk seorang warga tempatan berusia lingkungan 33 hingga 56 tahun.


“Semua suspek ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen sah bagi pemindahan minyak berkenaan.


"Rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.



Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki dan mengalihkan barang kawalan tanpa kebenaran.


Katanya, pasukan PPM akan terus komited dalam usaha membanteras penyeludupan bahan bersubsidi demi memastikan sumber negara tidak disalahgunakan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page